KUALA LUMPUR: Maklum balas badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil mengenai pindaan Perlembagaan berkait pengasingan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya, diteliti dalam mesyuarat kedua Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK), semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pandangan terbabit merangkumi beberapa parameter utama seperti mekanisme pelantikan, penamatan serta akauntabiliti Pendakwa Raya.
"Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada perbincangan lanjut terhadap input-input yang telah diterima daripada pelbagai pihak.
"Mesyuarat turut meneliti analisis dapatan maklum balas bertulis daripada NGO dan masyarakat sivil, yang akan menjadi asas penting dalam memperhalusi cadangan reformasi ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menjelaskan lanjut, Azalina berkata, mesyuarat dipengerusikannya itu adalah kesinambungan perbincangan pertama pada 16 Mac lalu yang menetapkan tiga parameter utama sebagai fokus.
Katanya, antara pihak yang mengemukakan pandangan ialah Projek Kestabilan dan Akauntabiliti Malaysia (Projek SAMA); Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH); Sabah Law Society (SLS); Transparency International-Malaysia (TI-M); Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center); Rasuah Busters; Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM); CSO Platform for Reform; Majlis Peguam Malaysia (MPM); Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS); Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM); Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM); dan pakar demokrasi berperlembagaan, Maha Balakrishnan.
Mesyuarat yang berlangsung di bangunan Parlimen itu turut dihadiri beberapa Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, termasuk Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Adly Zahari (Alor Gajah); William Leong Jee Keen (Selayang); Syahredzan Johan (Bangi); Roy Angau anak Gingkoi (Lubok Antu); Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor); Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu); dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar).
Azalina memaklumkan terdahulu dalam mesyuarat itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri membentangkan dapatan kajian komparatif membabitkan tiga negara, iaitu United Kingdom (UK), Australia dan Kanada.
Beliau berkata, kajian itu meneliti parameter utama seperti kaedah pelantikan, kelayakan, mekanisme penamatan jawatan dan bentuk akauntabiliti kepada Parlimen.
"Susulan itu, Jabatan Peguam Negara turut membentangkan cadangan rang undang-undang (RUU) susulan yang membabitkan pindaan berbangkit, termasuk berkaitan saraan Pendakwa Raya," katanya.
Seterusnya, beliau berkata, jawatankuasa itu akan mengadakan sesi libat urus bersama NGO dan pihak berkepentingan bagi memperhalusi maklum balas yang diterima.
"Kerajaan MADANI kekal komited memastikan sebarang reformasi institusi dilaksanakan secara telus, inklusif dan berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.
"Usaha itu juga bertujuan memperkukuhkan kebebasan institusi pendakwaan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara," katanya.
Sebelum ini, Azalina dilaporkan berkata, penyata RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 mengenai pemisahan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya, dijadual dimuktamadkan pada 18 Mei depan.
Sumber : Beritah Harian Online