KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dakwaan menyalahgunakan harta pertubuhan itu berjumlah RM207,000, tujuh tahun lalu.
Harta yang didakwa disalahgunakan itu membabitkan wang derma bantuan misi kemanusiaan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin.
Mohd Hakim, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Azrul Darus.
Terduduh didakwa sebagai pengerusi Serantau Muslim, beliau secara tidak jujur telah menyalahgunakan harta milik pertubuhan itu di Maybank Islamic Berhad, Cawangan Kompleks Dayabumi, Jalan Sultan Hishamuddin di sini pada 27 Disember 2019.
Tuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa' Zamri memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan mencadangkan supaya tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin.
Beliau berkata, pendakwaan juga memohon supaya tertuduh dikenakan syarat tambahan, iaitu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap awal bulan dan dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam bela, Azizzul Shariman Mat Yusoff memohon supaya jumlah itu dikurangkan kepada RM10,000 kerana jumlah jaminan yang dicadangkan terlalu tinggi sedangkan anak guamnya memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa sejak awal kes disiasat.
Katanya, selepas diminta hadir ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan, tertuduh tiba di mahkamah seawal jam 8 pagi, menunjukkan risiko dia mahu melarikan diri daripada menghadapi perbicaraan adalah sangat rendah.
"Tertuduh juga akan dituduh dengan kes lain di Melaka dan Perak pada hari Selasa dan Rabu, jadi saya mohon jumlah jaminan itu ditetapkan pada kadar lebih berkemampuan," katanya.
Azrul kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan seperti yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.
Hakim juga menetapkan sebutan semula kes pada 11 Mac ini.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM membongkar kegiatan penyelewengan dana sebuah NGO hasil sumbangan orang ramai dipercayai berjumlah RM26 juta.
Kegiatan penyelewengan dana itu terbongkar susulan tangkapan lima individu termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan sebuah pertubuhan menerusi Op Serantau.
Sumber : Berita Harian Online