KOTA KINABALU: Seorang pengurus kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM16,000.
Lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
Menurut sumber, suspek ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan mendapatkan kerja di bawah syarikatnya sendiri sekitar 2024.
"Suspek dipercayai menerima suapan secara transaksi pindahan ke akaun bank miliknya secara berperingkat sebagai balasan untuk mendapatkan kerja membaik pulih di bawah GLC berkenaan di sekitar negeri ini," kata sumber itu.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy mengesahkan tangkapan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, esok bagi permohonan reman.