Johor Bahru: Pengurus sumber manusia sebuah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM200,000. Menurut sumber, wanita berusia 35 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru kira-kira 10 pagi tadi selepas hadir memberikan keterangan.
Wanita itu didakwa mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui Borang Pengesahan Pekerja secara dalam talian.
"Borang itu mengandungi butir matan palsu bagi memperoleh peruntukan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi melaksana Program Insentif Pengambilan Pekerja sedangkan program itu tidak dilaksanakan sepenuhnya," kata sumber.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Suspek kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Sumber: Harian Metro