Pengurus syarikat kemuka tuntutan palsu direman enam hari

Tarikh: 16/04/2025
img

JOHOR BAHRU: Seorang pengurus syarikat direman enam hari bagi membantu siasatan kes dakwaan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan bantuan Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) bernilai RM110,000.

Perintah reman terhadap lelaki berumur 34 tahun itu dibenarkan Majistret Normadiana Mamat di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

Permohonan reman bermula hari ini hingga Ahad depan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009.

Terdahulu, sumber SPRM berkata, suspek ditahan di pejabat SPRM Johor di sini, kira-kira jam 8 malam tadi.

"Difahamkan, tangkapan dibuat ke atas suspek kerana mengemukakan dokumen tuntutan mengandungi butir matan palsu ke Jabatan Perikanan Negeri Johor.

"Ia berkaitan kerja membekal, menghantar dan mentauliah peralatan sokongan kepada penerima bantuan PPSPA Bil.1/20223 Johor bernilai RM110,000, sedangkan pembekalan tidak dilaksanakan dengan sempurna," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

MACC FM
My Anti-Corruption Channel