IPOH: Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan memberi suapan RM10,000 kepada ejen Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai ganjaran untuk tidak mengambil tindakan ke atas kegiatan perlombongan mata wang kripto Bitcoin sejak lima tahun lalu.
Tertuduh, Tiang Soon Ying, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi dalam bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memberikan suapan kepada Mohd Amir Mohamad, 37, yang merupakan seorang ejen TNB sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang bagi aktiviti perlombongan mesin Bitcoin dengan nilai keseluruhan RM10,000.
Ia susulan perbuatan tertuduh yang mengganggu, mengambil dan mengguna elektrik termasuk merosakkan pepasangan milik TNB bagi aktiviti mesin perlombongan Bitcoin di tiga premis di sekitar Kulai, Johor serta sebuah premis di Bandar Cemerlang, negeri sama.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan rasuah itu di tiga lokasi berbeza iaitu di sebuah pasar raya di Taman Samudera, Seri Manjung, Manjung; sebuah stesen minyak di Sungkai serta di hadapan restoran di Jalan Laksamana, Ipoh, Perak antara 4 November 2021 hingga 19 Januari 2022.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta yang sama,
Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharul Azuan Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Hong Chong Hang.
Sumber : Berita Harian Online
Sharul Azuan menawarkan jaminan RM30,000 ke atas tertuduh bagi ketiga-tiga pertuduhan, berserta syarat tambahan melaporkan diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Meor Sulaiman membenarkan tertuduh dijamin RM18,000 dengan seorang penjamin serta perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Manjung setiap bulan sehingga kes selesai, selain menetapkan 18 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.