Johor Bahru: Peniaga kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memberi suapan RM18,000 kepada pegawai polis, empat bulan lalu.
Pengakuan dibuat Sioh Poh Keong, 51, di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Lelaki itu dituduh memberi wang RM18,000 kepada Inspektor Risikan/ Operasi, Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Johor sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya yang menyimpan minuman keras tidak bercukai.
Perbuatan dilakukan di Taman Air Biru, Pasir Gudang, di sini pada 2.30 petang, 19 Jun lalu dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan antara RM5,000 hingga RM10,000 dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat SPRM Johor.
Peguam K Bharathi yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah dengan memaklumkan anak guamnya hanya memperoleh keuntungan RM4,000 sebulan hasil perniagaan kedai makan, selain perlu menjaga kakak yang selesai jalani pembedahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah. Kes disebut semula 10 November.
Sumber: Harian Metro