KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam didenda RM14,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini kerana didapati bersalah menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan bayaran tuntutan kawasan tanah pada 2014.
Hakim Jason Juga menjatuhkan hukuman itu kepada Justine Ongkomog @ Amran Mohd Osman, 54, yang juga Pembantu Tadbir di Pejabat Pemungut Hasil Tanah, Jabatan Tanah Dan Ukur Keningau selepas dia mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan pertuduhan itu, tertuduh menggunakan dokumen palsu iaitu Borang Penyata Tanaman dan Lain-Lain atas satu penama untuk dikemukakan kepada Penolong Pemungut Hasil Tanah, Keningau bagi mendapatkan bayaran tuntutan kawasan tanah yang terlibat dalam jajaran pembinaan Projek Naiktaraf Jalan Sook-Tulid- Sinua pada 2 Jun 2014 di Pejabat Pemungut Hasil Tanah Keningau.
Semasa perbuatan itu, tertuduh mengetahui maklumat pada Borang Penyata Tanaman dan Lain-Lain berkenaan adalah palsu dan tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun sama.
Tertuduh mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan alternatif dan mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap pertuduhan alternatif keempat dan kelima manakala pertuduhan alternatif pertama, kedua dan ketiga diambil pertimbangan (TIC) oleh mahkamah dalam menjatuhkan hukuman.
Mahkamah menjatuhkan hukuman iaitu denda RM7,000 bagi pertuduhan alternatif keempat dan denda RM7,000 bagi pertuduhan alternatif kelima, tertuduh dikehendaki menjalani hukuman penjara selama tiga tahun bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda ditetapkan.
Tertuduh bagaimanapun membayar kesemua denda yang ditetapkan mahkamah.
Sementara itu, pihak pendakwaan menarik balik lima pertuduhan yang dikenakan oleh tertuduh mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Mengikut pertuduhan itu, tertuduh yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian dan operasi) di Pejabat Penolong Pemungut Hasil Tanah, Keningau memperdaya Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah memggunakan Borang Penyata Tanaman dan Lain-Lain atas satu penama bagi tuntutan kawasan tanah yang terlibat dalam jajaran pembinaan Projek Naiktaraf Jalan Sook-Tulid-Sinua, Keningau (Fasa 2) pada 2 Jun 2014.
Tertuduh mengetahui dokumen terbabit adalah palsu dan tanah yang dinyatakan di dalam borang tidak terlibat di dalam jajaran pembinaan jalan bagi projek naiktaraf jalan itu.
Untuk tindakan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.
Sumber: Utusan Borneo