Penjawat awam direman 7 hari berhubung kes salah guna kuasa projek kerajaan

Tarikh: 06/10/2026
img

KENINGAU: Seorang penjawat awam direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kedudukan membabitkan 15 projek kerajaan bernilai kira-kira RM2 juta.

Perintah reman sehingga 12 Oktober ini dikeluarkan Majistret Flavian Edward Henry selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Keningau, pagi tadi.

Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Keningau.

Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai menyalahgunakan kedudukannya antara 2021 hingga 2024 dengan mengesahkan Sijil Pengesahan Siap bagi 15 projek kerajaan berkenaan.

Semua projek terbabit dipercayai dilaksanakan sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan isteri suspek.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel