Penjawat awam direman disyaki minta, terima rasuah RM130,000

Tarikh: 20/11/2024
img

Kota Kinabalu: Seorang penjawat awam direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan meminta dan menerima rasuah RM130,000 daripada kontraktor sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan kecil tandas sekolah di sebuah daerah di negeri ini.


Bagaimanapun, seorang rakannya akan dilepaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas selesai memberikan keterangan, hari ini.


Terdahulu, kedua-dua suspek lelaki berusia 50-an ditahan ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah antara 7 hingga 10 malam tadi.


Sumber berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai meminta rasuah sebanyak 30 peratus daripada nilai projek iaitu kira-kira RM130,000 daripada beberapa kontraktor pada 2023.


"Kedua-dua suspek disyaki menerima wang rasuah daripada beberapa kontraktor terbabit secara tunai dengan beberapa kali bayaran.


"SPRM turut merampas wang tunai kira-kira RM90,000 dan menyita dua kenderaan mewah bagi membantu siasatan," katanya.


Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


"Kita tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan," katanya.


Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel