SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang penjawat awam kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM6,000 daripada seorang kontraktor.
Sumber berkata, ia sebagai balasan untuk mendapatkan kerja-kerja membaik pulih rumah daif di sebuah daerah di Selangor.
Menurutnya, suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 2 petang pada Isnin ketika hadir bagi memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar Jun 2021.
"Suspek telah menerima wang rasuah daripada kontraktor terbabit bagi mendapatkan kerja-kerja membaik pulih menerusi 'Bantuan Baik Pulih Rumah Daif Di Bandar, Program Pembasmian Kemiskinan Bandar'," katanya pada Isnin.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Shah Alam pada Selasa jam 9 pagi untuk dituduh di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian