Penjawat awam ditahan kes rasuah berkait penyalahgunaan logo halal

Tarikh: 22/08/2025
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman seorang penjawat awam agensi kerajaan negeri kerana disyaki meminta dan menerima wang suapan kira-kira RM8,000 daripada seorang ahli perniagaan sebagai balasan untuk tidak mengenakan kompaun terhadap syarikat miliknya berkait kes penyalahgunaan logo halal.

Majistret Zur Azureen Zainalkefli membenarkan suspek direman lima hari hingga 25 Ogos ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki meminta wang suapan daripada seorang pemilik syarikat sebagai balasan untuk tidak mengenakan kompaun atas kesalahan penyalahgunaan logo halal pada produk yang tidak mendapat sijil halal oleh syarikat terbabit.

"Suspek kemudian dipercayai menerima wang rasuah kira-kira RM8,000 daripada pemilik syarikat berkenaan," katanya.

Sementara itu Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Khairul Izwan Karim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Sekyen 17(a) Akta SPRM 2009.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel