SINTOK – Jumlah penjawat awam yang ditahan kerana disyaki terlibat rasuah di Kedah pada tahun ini meningkat kepada 31 orang sehingga bulan ini berbanding 22 pada tahun lalu.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Nizam Ismail berkata, angka itu melebihi separuh daripada keseluruhan 50 tangkapan yang dilaksanakan SPRM Kedah sepanjang tahun ini.
“Tangkapan terhadap pekerja swasta menunjukkan penurunan kepada sembilan orang berbanding 26 pada tahun lalu. Selain itu kami turut menahan 10 orang awam pada tahun ini berbanding dua pada tahun lalu.
“Secara keseluruhannya, tangkapan dilakukan setakat November tahun ini, sama jumlahnya dengan tangkapan dilakukan untuk tempoh Januari hingga November lalu iaitu 50 orang,” katanya pada sidang akhbar sempena Sambutan Hari Anti Rasuah 2024 dan Bulan Integriti Nasional di Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, jumlah aduan rasmi diterima SPRM Kedah pada tahun ini turut meningkat kepada 61 berbanding 42 pada tahun lalu.
“Maklumat berkaitan kes rasuah bagaimanapun menurun kepada 163 tahun ini, berbanding 186 pada tahun lalu. Tahun ini, jumlah kertas siasatan yang dibuka meningkat sebanyak 46 berbanding 35 tahun lalu.
“Sebanyak 16 pertuduhan telah dilaksanakan membabitkan semua kes rasuah pada tahun ini. Daripada jumlah itu, enam kes telah pun disabitkan dengan kesalahan,” ujarnya.
Sumber: Kosmo