Penjawat awam, pengarah syarikat direman kes rasuah RM500,000

Tarikh: 09/04/2026
img

KUALA LUMPUR: Seorang penjawat awam ditahan reman bersama pengarah syarikat selepas disyaki memberi dan menerima rasuah kira-kira RM500,000.

Wang rasuah itu dikatakan sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan berkaitan kesalahan pengisytiharan pembelian bahan api bersubsidi.

Perintah reman empat hari sehingga 11 April ini terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an dan 40-an itu ditahan kira-kira jam 8.50 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu sekitar April 2024.

"Kedua-dua suspek dipercayai memberi dan menerima wang rasuah secara tunai dan berperingkat," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.


Sumber : Berita Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel