Penolong jurutera kanan disiasat disyaki lantik syarikat keluarga buat projek RM2.6 juta

Tarikh: 07/05/2026
img

LABUAN: Penolong jurutera kanan agensi kerajaan direman enam hari selepas disyaki menyalahgunakan kuasa dengan melantik syarikat milik keluarganya bagi kerja penyelenggaraan bernilai kira-kira RM2.6 juta.

Turut direman, adik dan adik iparnya bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan.

Perintah reman sehingga 12 Mei terhadap ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an itu dikeluarkan Majistret Dr Melissa Chia selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Labuan, pagi tadi.

Sumber berkata, semua suspek ditahan antara jam 4 hingga 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Labuan.

"Hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan berkenaan pada 2025.

"Suspek utama yang juga penolong jurutera kanan dipercayai menggunakan lesen syarikat kontraktor utama untuk melantik syarikat subkontraktor milik keluarganya bagi menjalankan kerja pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan di sebuah kompleks anak yatim di negeri ini.

"Nilai keseluruhan kerja yang terbabit dianggarkan kira-kira RM2.6 juta," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Labuan, Muhammat Azis Malmod, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana menyalahgunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.


Sumber : Berita Harian Online



MACC FM
My Anti-Corruption Channel