Ipoh: Seorang kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) disyaki meminta dan menerima rasuah direman empat hari di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret S Punitha membenarkan permohonan reman yang dipohon oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap lelaki berusia 51 tahun itu sehingga Isnin depan.
Tempoh reman itu dipohon bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas suspek mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Difahamkan, suspek yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Perancang Bandar itu disyaki meminta dan menerima suapan daripada pemilik premis perniagaan sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemilik premis terbabit yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak di Bandar Meru Raya, di sini, pada 5.45 petang semalam.
Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap SPRM tiba di pekarangan mahkamah 10.02 pagi tadi sebelum dibawa keluar kira-kira sejam kemudian.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kes itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Sumber: Berita Harian