Penyelewengan sukuk tamparan besar kepada kewangan negara - Penganalisis

Tarikh: 10/06/2025
img

KELEMAHAN dalam sistem kawalan dalaman syarikat dan institusi kewangan di Malaysia terus menjadi isu utama yang mencetuskan kebimbangan.

Isu ini bukan hanya merosakkan reputasi syarikat yang terbabit, malah turut menjejaskan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa.

Penyelewengan dana membabitkan jumlah besar, seperti dalam kes sukuk dan projek infrastruktur utama, menonjolkan kelemahan dalam pengurusan dan pengawasan kewangan negara.

Instrumen kewangan seperti sukuk, yang menjadi simbol kekuatan kewangan Islam Malaysia, kini diancam oleh kelemahan dalam pelaksanaan dan kawalan.

Seharusnya, sukuk melambangkan ketelusan dan integriti, namun sebaliknya penyelewengan yang berlaku mencerminkan kegagalan di pelbagai peringkat, daripada pengawasan dokumen hinggalah pemantauan oleh badan audit dalaman dan luaran.

Lebih membimbangkan, isu ini membuka ruang kepada persepsi negatif terhadap kestabilan sistem kewangan Islam negara.

Antara kesan langsung daripada kelemahan ini termasuk penurunan keyakinan pelabur, peningkatan kos pembiayaan bagi syarikat tempatan dan ancaman terhadap reputasi Malaysia di peringkat global.

Dalam era persaingan sengit untuk menarik pelaburan asing, sebarang kelemahan dalam pengurusan kewangan boleh membawa kepada implikasi jangka panjang yang merugikan negara.

Tambahan pula, kegagalan untuk mengesan dan mencegah penyelewengan dana pada peringkat awal menunjukkan perlunya reformasi sistemik, iaitu Malaysia memerlukan sistem kawalan yang lebih berkesan, yang tidak hanya menumpukan kepada pematuhan tetapi juga membina budaya integriti dan akauntabiliti di semua peringkat organisasi.

Menjelaskan perkara ini, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, menekankan kelemahan dalam kawalan dalaman ialah satu punca utama penyelewengan kewangan.

"Pegawai yang memproses permohonan harus memastikan dokumen yang dilampirkan sah dan tepat," katanya.

Selain itu, unit audit dalaman dan kawalan dalaman berfungsi secara lebih berkesan untuk mengelakkan risiko yang tidak dijangka.

Di sini letaknya kepentingan dasar pelaporan dalaman untuk membolehkan pekerja melaporkan kegiatan mencurigakan tanpa rasa takut.

"Sistem pengurusan risiko yang mantap diperlukan untuk memastikan segala prosedur dipatuhi dengan teliti," kata Ahmed Razman.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, pula menekankan peranan penting syarikat pemegang amanah dalam memastikan kelancaran dan ketelusan pengurusan sukuk.

Pemegang amanah bertanggungjawab memastikan pembayaran keuntungan kepada pemegang sukuk setiap tahun sehingga tempoh matang.

Namun, jika penyelewengan berlaku, pemegang amanah juga perlu bertanggungjawab.

"Syarikat pemegang amanah ke atas sukuk ini juga perlu dipertanggungjawab sekiranya penyelewengan berlaku dalam pengetahuannya," kata Aimi Zulhazmi.

Dalam pada itu, semua pihak harus membiarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan sepenuhnya tanpa gangguan.

Sebelum ini, negara terpalit dengan kes membabitkan sukuk bernilai RM1.35 bilion yang sepatutnya digunakan untuk projek lebuh raya di Lembah Klang, sekali gus mencerminkan kelemahan dalam sistem kawalan kewangan.

Dana berkenaan dilaporkan diselewengkan untuk tujuan peribadi seperti pembelian aset mewah dan perjudian.

Penganalisis Ekonomi di Strat369 Consulting, Dr Mohamad Khair Afham Muhammad Senan, menyifatkan kes itu sebagai tamparan besar kepada sistem kewangan Islam di Malaysia.

"Penyelewengan ini bukan sahaja mencerminkan kelemahan dalam pengurusan kewangan Islam, tetapi turut menjejaskan kepercayaan pelabur terhadap sistem kewangan kita," katanya.

Penyelewengan dana juga mengurangkan keyakinan pelabur, meningkatkan kos pembiayaan bagi entiti korporat dan menjejaskan kedudukan Malaysia dalam indeks persepsi rasuah global.

"Kes-kes ini boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi kewangan dan kerajaan, membawa kepada risiko ketidakstabilan sosial dan politik," katanya.

Penganalisis sependapat bahawa langkah penambahbaikan segera perlu dilaksanakan untuk memulihkan kepercayaan terhadap sistem kewangan Malaysia.

Cadangan termasuk memperkukuh sistem pengawasan, meningkatkan ketelusan dalam pelaporan kewangan, dan memastikan pematuhan kepada piawaian etika dan profesional yang tinggi.

Pendidikan dan kesedaran tentang kepentingan integriti dalam pengurusan kewangan juga perlu ditingkatkan dalam kalangan pengurus dan pegawai kewangan.

Kesimpulannya, kes penyelewengan itu peringatan keras tentang pentingnya reformasi menyeluruh dalam sistem kawalan dan pengawasan kewangan Malaysia.

Dengan mengambil langkah drastik dan membina semula kepercayaan pelabur, Malaysia berpotensi untuk terus menjadi hab kewangan Islam yang dihormati di peringkat global.


Sumber BH Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel