KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengesahkan penahanan seorang pegawai agensi itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Ops Hire 2.0, semalam.
PERKESO dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, penahanan itu bagi membantu siasatan berhubung insentif pengambilan pekerja bawah program Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana).
Menurut PERKESO, pegawai berkenaan disyaki terbabit menerima suapan bagi meluluskan permohonan tuntutan Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (PenjanaKerjaya) di bawah Penjana.
"Sehubungan itu, pihak kami menegaskan bahawa PERKESO tidak akan mencampuri urusan itu.
"Kami memberi kerjasama serta menyerahkan sepenuhnya kepada pihak SPRM untuk menjalankan siasatan ke atas pegawai berkenaan sehingga selesai," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, media melaporkan, SPRM menahan seorang pegawai perkhidmatan sebuah agensi selepas disyaki terbabit menerima wang habuan ribuan ringgit daripada seorang pemilik syarikat sebagai upah meluluskan permohonan tuntutan PenjanaKerjaya bernilai kira-kira RM1.3 juta.
Lelaki berusia lingkungan 20-an terbabit dikatakan menerima habuan itu pada 2021 hingga 2022, menerusi seorang lelaki yang bertindak sebagai orang tengah kepada pemilik syarikat berkenaan.
Selasa lalu, 47 pengarah syarikat ditahan reman di beberapa negeri susulan kes tuntutan palsu dana PenjanaKerjaya selepas ditahan melalui Ops Hire 2.0 digerakkan SPRM dengan kerjasama PERKESO.
Semalam, 13 lagi ditahan melalui operasi sama dengan beberapa lagi menyusul hari ini.
SPRM turut mengesahkan, ratusan lagi syarikat dikenal pasti terbabit dalam kes tuntutan palsu berkaitan dana PenjanaKerjaya.
Sumber: Berita Harian