Pertukaran Wan Shaharuddin dari SPRM ke AGC amalan biasa, tak jejaskan kes sedang dikendali - AG

Tarikh: 26/02/2026
img

KUALA LUMPUR: Pertukaran Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ke jawatan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan II, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak menjejaskan pengendalian kes yang sedang dikendalikan beliau di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata Wan Shaharuddin yang ketika ini Pengarah Perundangan dan Pendakwaan SPRM masih berupaya meneruskan tanggungjawab terhadap kes berkepentingan, di samping diberi peluang mengendalikan kes rayuan di peringkat mahkamah yang lebih tinggi.

"Saya ingin memaklumkan bahawa Datuk Wan Shaharuddin telah ditukarkan daripada jawatan Pengarah Perundangan dan Pendakwaan SPRM kepada jawatan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan II di Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, AGC berkuat kuasa 2 Mac 2026.

"Saya menegaskan bahawa pertukaran pegawai adalah perkara biasa dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, dan dilaksanakan bagi memastikan keseimbangan pengalaman, kesinambungan kepimpinan, serta pengukuhan kapasiti organisasi.

"Saya menyeru semua pihak untuk melihat pertukaran ini sebagai langkah positif dalam memperkukuh peranan AGC dan memastikan pentadbiran keadilan negara terus berada pada tahap optimum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Dusuki berkata, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan adalah salah satu bahagian utama di AGC yang memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan pendakwaan dan kelancaran proses rayuan di mahkamah atasan.

Katanya, penempatan Wan Shaharuddin di bahagian itu diyakini sesuai dengan kepakaran beliau serta memberi peluang untuk terus menyumbang secara langsung kepada pengendalian kes rayuan yang lebih kompleks dan berprofil tinggi.

"Pertukaran ini sebahagian daripada amalan biasa dalam Perkhidmatan Awam yang menekankan prinsip pusingan kerja, pembangunan kerjaya, dan pendedahan kepada bidang tugas yang pelbagai.

"Lazimnya, tempoh pusingan kerja bagi Pegawai Undang-Undang dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan adalah antara tiga hingga lima tahun.

"Datuk Wan Shaharuddin telah berkhidmat selama lebih enam tahun di SPRM dan pertukaran ini sejajar amalan tersebut serta memberi peluang kepada beliau untuk memperluas pengalaman dalam bidang perbicaraan dan rayuan," kata kenyataan itu.

Wan Shaharuddin hari ini mengesahkan akan kembali ke AGC selepas hampir tujuh tahun berkhidmat di SPRM, selepas menerima surat pertukaran semalam, yang berkuat kuasa 2 Mac ini,

Arahan pertukaran itu dimaklumkan melalui surat bertarikh semalam ditandatangani Mohd Dusuki.

Difahamkan, pertukaran itu tidak membabitkan kenaikan pangkat buat masa ini berdasarkan surat yang menyatakan ia adalah 'jawatan terapung'.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel