KUALA TERENGGANU: Seorang pesara bomba mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan memberi kenyataan tidak selari dan bercanggah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tertuduh, Abdul Hamid S Abdullah, 64, membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan penyataan tidak selaras dengan penyataan yang diberikan sebelum ini kepada pihak SPRM.
Ia membabitkan keterangan tertuduh berkaitan pengetahuannya tentang milikan tiga buah syarikat yang membekalkan alat ganti 'walkie talkie', jaket keselamatan, sut dan kompas yang bercanggah ketika memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu pada 27 September 2018.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di pejabat SPRM cawangan Segamat, Segamat di Johor pada 7 September 2021.
Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 27(1)(b) Akta SPRM 2009 berdepan hukuman denda hingga RM100,000 atau dipenjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk pengurusan kes dan lantikan peguam.
Tertuduh turut dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan kepada tertuduh iaitu dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Selain itu, tertuduh diarah melapor diri ke pejabat SPRM terdekat sebelum 7 hari bulan setiap bulan hingga kes selesai.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Feisal Mohd Azmi dan Pegawai Pendakwa, Abd Muntaqim Abdul Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber: Berita Harian