Pesara tentera ditahan SPRM, bantu siasatan terima rasuah jual pangsapuri PVATM

Tarikh: 14/10/2025
img

GEORGETOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan seorang pesara tentera bagi membantu siasatan berkaitan rasuah RM405,000 membabitkan penjualan lima unit pangsapuri Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di negeri itu.

Difahamkan, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM negeri.

Sumber berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang pemilik syarikat sebagai balasan jualan lima pangsapuri aset PVATM pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Kejadian dipercayai berlaku pada 2015.

"Suspek dipercayai menerima RM405,000 menerusi 12 transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya," kata sumber itu, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan suspek akan didakwa Rabu ini di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth," katanya.


Sumber: Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel