KAHERAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak akan memberi perlindungan kepada mana-mana pihak yang terbabit dalam kes rasuah.
Ia termasuk jika ada individu mendakwa mahu menjadi pemberi maklumat dalam mendedahkan kes rasuah.
Beliau mengulas kes skandal rasuah membabitkan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meminta wang sebagai balasan menyokong kelulusan projek.
“Jangan gunakan jawatan Perdana Menteri untuk dapatkan perlindungan kepada sesiapa bagi kes rasuah kerana saya tidak akan buat begitu. Saya tak akan bagi jaminan itu.
“Dasar Kerajaan Madani adalah jelas iaitu perlindungan hanya diberi kepada mereka yang tidak terbabit langsung dalam kes rasuah,” katanya ketika ditemui pada sidang media pada hari terakhir lawatan rasminya selama empat hari ke Mesir, hari ini.
Susulan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan teliti terhadap semua kes rasuah.
Katanya, beliau tidak akan berunding dengan mana-mana pemberi maklumat kes rasuah yang mahu mendapatkan perlindungan daripadanya.
“Jadi, jika ada maklumat yang samar-samar termasuk adakah individu pemberi maklumat itu turut terbabit dalam rasuah, ia perlu diteliti dan disiasat, bukan terus memberi perlindungan kepadanya,” tambahnya ketika ditemui media Malaysia di Kaherah.
Sabtu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan seorang pemberi maklumat bagi kes klip video beberapa ADUN membincangkan rasuah, sudah berjumpa pegawainya pada 30 Oktober lalu.
Pemberi maklumat dalam kes itu juga dikatakan menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri untuk meminta diberi perlindungan sebelum membuat laporan SPRM.
Mengulas perkara itu, Datuk Seri Anwar berkata, beliau tidak menerima sebarang surat daripada mana-mana individu yang meminta perlindungan daripadanya kerana masih berada di Mesir dalam lawatan rasmi.
Beliau berkata, jika surat itu dihantar kepadanya sekalipun, ia akan diserahkan terus kepada SPRM untuk siasatan lanjut.
Sumber: Buletin TV3