Polis akan panggil Bloomberg kes dakwaan campur tangan PM siasatan SPRM

Tarikh: 10/10/2024
img

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil media antarabangsa, Bloomberg bagi membantu siasatan berhubung dakwaan campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya menerima laporan kes itu yang dibuat SPRM susulan kenyataan dikeluarkan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil di media sosial baru-baru ini.


"Kita sudah mengambil keterangan dua orang iaitu pihak pengadu (SPRM) dan Isham.


"Beberapa lagi individu akan dipanggil khususnya daripada pihak Bloomberg dalam masa terdekat," katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Cheras di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, hari ini.


Menurut Rusdi, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Media semalam melaporkan, polis mengambil keterangan Isham susulan kenyataannya yang menggesa supaya Anwar menyaman Bloomberg mengenai dakwaan campur tangan dalam siasatan SPRM.


Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed dilaporkan berkata, Isham hadir pada jam 3 petang.


Terdahulu dalam kenyataan Isham, beliau mencadangkan tindakan saman terhadap Bloomberg kerana menyiarkan laporan yang menyatakan Anwar meminta SPRM untuk tidak siasat bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berhubung kes beli saham bernilai jutaan ringgit.


Isham turut memaklumkan jika kenyataan Bloomberg itu tidak benar ia adalah fitnah yang berat.


Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel