PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan berlaku kesalahan rasuah disyaki membabitkan seorang calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, bagaimanapun enggan mendedahkan identiti calon berkenaan, lokasi serta parti diwakilinya.
Setakat ini, beliau berkata, agensi itu sudah menerima tiga maklumat berkaitan rasuah, termasuk satu diperoleh daripada penguat kuasa kempen pilihan raya yang hadir ke Pejabat SPRM Cawangan Batu Pahat.
"Saya tidak mahu komen lebih-lebih kerana ini musim pilihan raya. Kita tidak mahu menjejaskan mana-mana pihak. Kita mahu kekal bebas supaya tidak dilihat menyebelahi mana-mana pihak.
"Jika ada kesalahan rasuah dalam pilihan raya yang sedang berlangsung, tidak kira apa parti, calon, pengundi atau penyokong, maka ia tetap merupakan kesalahan rasuah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Berita lanjut menyusul
Sumber : Berita Harian Online