Profesor dituduh di mahkamah salah guna kedudukan babitkan kontrak RM3 juta

Tarikh: 16/10/2026
img

SHAH ALAM : Seorang pesara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dakwaan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan kontrak pekerjaan bernilai keseluruhan RM3.12 juta, empat tahun lalu.

Profesor Datuk Dr Muhammad Hussin, 64, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Muhammad Hussin didakwa menggunakan kedudukannya sebagai anggota Koperasi Siswazah Bangi Berhad (KSBB) untuk mendapatkan dua kontrak pekerjaan bernilai RM1.2 juta dan RM1.92 juta.

Kontrak berkenaan bagi mengendalikan program Sarjana Pendidikan dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah melalui Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dia didakwa mempengaruhi Ahli Lembaga KSBB dalam dua mesyuarat lembaga berkenaan, supaya bersetuju melantik QTech Management Malaysia Sdn Bhd sebagai pengendali program, sedangkan dia mempunyai kepentingan dalam syarikat terbabit.

Muhammad Hussin yang juga bekas Pengarah Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape), didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kolej Keris Mas, UKM pada 26 Februari 2022 dan sebuah hotel di Bandar Baru Bangi pada 25 Jun 2022.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin berserta syarat, tertuduh dikehendaki menyerahkan pasport ke mahkamah, melaporkan diri ke pejabat SPRM sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam bela, Muhammad Wafi Anwar Roslan bagaimanapun memohon jaminan RM50,000 dengan alasan anak guamnya pesara dengan pencen RM8,000 sebulan, dan menanggung dua isteri serta sembilan anak termasuk bayi berusia 22 hari.

Katanya, tertuduh juga menghidap kanser Synovial Sarcoma (kanser tisu lembut) dan masalah jantung yang memerlukan rawatan berkala.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM80,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan, serta menetapkan sebutan kes pada 12 November ini.


Sumber - Berita HarianĀ 

MACC FM
My Anti-Corruption Channel