Pusat Informasi jadi Pejabat SPRM Cawangan Keningau

Tarikh: 11/11/2024
img

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menaik taraf Pusat Informasi SPRM di Keningau, Sabah menjadi Pejabat SPRM Negeri Sabah Cawangan Keningau dalam usaha memperluas perkhidmatan sekali gus mempermudahkan masyarakat setempat berurusan dengan Suruhanjaya ini.


Perasmian Pejabat SPRM Sabah Cawangan Keningau ini telah disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki hari ini.


Pusat Informasi SPRM ini telah mula beroperasi sejak 12 Ogos 2008 dan pada 2 Januari 2024, dinaik taraf kepada Pejabat SPRM Sabah Cawangan Keningau yang akan memberi focus pemantauan meliputi daerah Tambunan – Keningau – Sook – Nabawan – Pensiangan serta Tenom – Sipitang – Beaufort membabitkan keluasan muka bumi lebih kurang 18,298 kilometer persegi (24.9% kawasan daripada seluruh negeri Sabah).


Pejabat SPRM Sabah Cawangan Keningau ini akan diketuai oleh Penguasa Mohd Iskandar Rizman dan akan melapor terus kepada Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy a/l Y. Subbiah.


Bertempat di aras bawah Rumah Persekutuan Keningau, pejabat cawangan baharu ini telah dikembangkan dari satu lot kepada tiga lot pejabat yang dilengkapi dengan bilik Ketua Cawangan, ruang kerja pegawai, bilik aduan serta Bilik Gerakan Operasi Siasatan.


SPRM juga mengucapkan penghargaan kepada Pejabat Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah kerana menyediakan dua lot pejabat tambahan untuk pejabat SPRM Cawangan Keningau.


Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyalurkan sebarang maklumat berkaitan rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa boleh hadir ke pejabat berkenaan atau menghubungi talian 087-336761 atau faks 087-336763.


Sumber: Malaysia Gazette

MACC FM
My Anti-Corruption Channel