Rafizi bimbang siasatan terhadapnya dibuat berlandaskan emosi

Tarikh: 14/05/2026
img

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, menyuarakan kebimbangannya terhadap kemungkinan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dimulakan terhadapnya, dipengaruhi atau didorongi unsur emosi.

Ia susulan kenyataan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, pada hari persaraannya Selasa lalu, bahawa beliau tidak akan memaafkan mana-mana pihak yang 'menyerangnya' tanpa sebab.

Rafizi berkata, ucapan perpisahan yang dibuat Azam dan dilaporkan secara meluas itu, sebenarnya satu kenyataan yang ada kesan kepada SPRM berikutan agensi penguatkuasaan itu diamanahkan untuk melaksanakan undang-undang tanpa dipengaruhi perasaan peribadi.

Katanya, SPRM perlu kelihatan bebas dan kebal daripada kritikan kerana ia mesti berpandukan kepada bukti dan undang-undang semata-mata.

"Tambah dalam situasi saya, apabila Azam menyebut dia tidak akan memaafkan orang yang 'menyerangnya', maksudnya ada elemen emosi yang besar dalam kenyataan itu dan dalam tempoh dua, tiga tahun lalu, daripada sebelum kerajaan ini mengambil alih hinggalah setahun yang lalu, antara orang yang paling lantang mengkritik adalah saya.

"Kritikan itu bukan soal saya suka atau tak suka kepada Azam, tetapi untuk memastikan SPRM itu bukan saja bebas dan bersih, tetapi mesti diyakini bebas dan bersih oleh rakyat.

"Jadi, bila disebut dia tak akan memaafkan orang yang 'menyerangnya' (mengkritik) nampak ada unsur emosi yang besar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sebelum masuk ke Ibu Pejabat SPRM untuk menyambung keterangan, hari ini.

Berita lanjut menyusul


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel