Rafizi tidak disiasat - Azam Baki

Tarikh: 13/02/2026
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan kononnya bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli disiasat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM setakat ini belum lagi membuka sebarang kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan RM1.1 bilion membabitkan seorang menteri kanan.

Katanya SPRM masih meneliti dokumen yang diserahkan oleh tiga badan bukan kerajaan (NGO) yang membuat aduan berhubung perkara itu dan menyerahkan sejumlah dokumen.

"Saya berpegang kepada kenyataan timbalan saya sendiri (Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya) yang menyatakan pegawai penyiasat sedang meneliti dokumen itu. "Jadi kenapa ada dakwaan serbuan terhadap individu tertentu (Rafizi) akan dijalankan," katanya hari ini.

Awal hari ini, Ahmad Khusairi dilaporkan berkata SPRM masih meneliti dokumen yang diserahkan oleh NGO terbabit sebelum membuat keputusan sama ada kertas siasatan akan dibuka.

Mengulas lanjut, Azam berkata setiap siasatan yang dijalankan SPRM berpegang kepada prinsip ketelusan dan undang-undang negara.

Semalam, SPRM mengesahkan sedang meneliti dokumen berhubung dakwaan penyelewengan berjumlah RM1.1 bilion yang dikaitkan dengan seorang menteri kanan.

Ia susulan beberapa NGO yang hadir ke SPRM untuk membuat laporan.

Awal hari ini, Rafizi pada sidang media bersama beberapa Ahli Parlimen PKR mendakwa berdasarkan sumber dalaman SPRM, beliau akan diserbu agensi itu.


Sumber : Berita Harian Online


MACC FM
My Anti-Corruption Channel