Rasuah dilarang dalam Islam, boleh masuk neraka – Hakim

Tarikh: 27/11/2024
img

SHAH ALAM: Hakim Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memberi “peringatan keras” kepada bekas pengurus Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) bahawa amalan rasuah itu diharamkan Islam dan boleh menyebabkan seseorang itu masuk neraka.


Itu peringatan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin sebelum menjatuhkan hukuman denda RM50,000 kepada Dicky Rahmat Abdullah, 50, selepas dia mengaku bersalah atas enam pertuduhan rasuah membabitkan RM50,300.


Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara selama 36 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda selain wang rampasan RM60,000 dilucutkan hak kepada kerajaan Malaysia melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


“Rasuah adalah dilarang dalam agama Islam. Orang yang terima dan beri rasuah, kedua-duanya masuk neraka,” katanya.


Berdasarkan pertuduhan, Dicky Rahmat didakwa menerima wang tunai berjumlah RM50,300 daripada seorang lelaki berusia 54 tahun termasuk menerusi pindahan atas talian antara dua akaun bank syarikat berlainan.


Bapa kepada empat anak didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah cawangan bank di Bandar Baru Klang dan Dataran PHB Seksyen U2 antara 22 Ogos 2021 hingga 16 Oktober 2022. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda tidak melebihi RM50,000 bagi setiap pertuduhan.


Peguam Najib Zakaria dan Diar Isda Yazmin Ismail dalam rayuannya memberitahu mahkamah ia kesalahan kali pertama tertuduh.


“Anak guam adalah penanggung tunggal keluarga. Ketika ini, anak guam bekerja sebagai freelance dengan dua anaknya sedang menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan dua lagi merupakan pelajar sekolah. Isterinya juga tidak bekerja dengan anak guam juga menanggung ibu bapa yang uzur,” katanya.


Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin berkata, pengakuan salah tertuduh adalah bersifat pilihan dan mahkamah perlu mengambil kira keseluruhan fakta sebelum menjatuhkan hukuman.


“Hukuman setimpal akan menjadi pengajaran kepada tertuduh dan peringatan kepada pihak luar . Kami mohon juga wang rampasan RM60,000 dilucutkan hak kepada kerajaan Malaysia melalui SPRM,” katanya.


Sumber: Utusan Malaysia  

MACC FM
My Anti-Corruption Channel