SHAH ALAM - Masyarakat akan hilang kepercayaan dan mempertikaikan fungsi serta peranan penjawat awam yang sepatutnya menjaga kepentingan orang ramai sekiranya golongan tersebut terlibat dalam jenayah rasuah.
Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Perlis, Profesor Madya Dr Shahrir Rizal Kasjoo berkata, golongan itu sepatutnya mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat dan bukan sebaliknya.
"Mengambil atau menerima rasuah merupakan tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab kerana mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri malah ia boleh menjejaskan kredibiliti penguatkuasaan di negara kita disebabkan segelintir golongan berkenaan.
"Jenayah rasuah dan integriti dari pelbagai peringkat perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana melibatkan kepentingan awam.
Sebelum ini dilaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang penjawat awam kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM6,000 daripada seorang kontraktor.
Sumber berkata, ia sebagai balasan untuk mendapatkan kerja-kerja membaik pulih rumah daif di sebuah daerah di Selangor.
Mengulas lanjut, Shahrir berkata, orang awam perlu berani membuat aduan bukan sahaja dalam penguatkuasaan tetapi melibatkan semua keadaan dari semua peringkat termasuk atasan yang melibatkan jumlah kewangan besar.
"Ini semua adalah kepentingan orang awam yang wajib dilindungi oleh semua pihak.
"Selain itu, tindakan tegas dan pantas oleh pihak berwajib untuk membuat siasatan segera apabila aduan dibuat dapat menangani jenayah berkenaan daripada menjadi barah dalam masyarakat.
"Lebih-lebih lagi apabila melibatkan sejumlah wang besar yang selalunya melibatkan pihak atasan. Ini akan meningkatkan kredibiliti pihak SPRM di mata masyarakat awam," ujarnya.
Sumber: Sinar Harian