Rasuah pengurusan mayat, empat kakitangan perubatan ditahan

Tarikh: 29/09/2023
img

Seremban: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan empat kakitangan perubatan awam, hari ini, kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM11,000.

Suspek disyaki menerima rasuah sebanyak antara RM100 hingga RM600 sebagai balasan menawarkan kerja pengurusan mayat bukan Islam di sebuah hospital di negeri ini.

Sumber memberitahu, tiga suspek lelaki dan seorang suspek wanita berusia antara 30-an hingga 50-an dipercayai ditahan antara kira-kira jam 4 petang hingga 7 malam di pejabat SPRM Negeri Sembilan ketika diminta hadir memberi keterangan.

Beliau berkata, kesemua suspek yang bertugas di hospital yang sama dipercayai menerima wang rasuah yang membabitkan kira-kira 42 transaksi bank daripada dua syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengurusan mayat antara 2022 dan hingga 2023.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra bin Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, keempat-empat suspek akan dibawa untuk tujuan permohonan reman di Mahkamah Majistret Jenayah Seremban esok.

Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel