Rasuah polis bantuan, subkontraktor warga Myanmar direman

Tarikh: 23/09/2024
img

Georgetown: Dua lelaki warga Myanmar direman lima hari, untuk siasatan merasuah polis bantuan sebuah agensi kerajaan di negeri ini.

Perintah tahanan reman terhadap mereka yang berusia 53 dan 31 tahun itu dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang juga subkontraktor tidak berlesen bagi kerja pemasangan penapis air disyaki memberi wang suapan RM500 sebagai balasan tidak menahan pekerja mereka.

Difahamkan, pekerja suspek sepatutnya tidak boleh bekerja di Pulau Pinang kerana mempunyai permit bekerja di negeri lain, selain turut didapati memiliki kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) palsu.

Terdahulu, mereka ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang di sini pada jam 3 petang semalam.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.


Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel