KUALA LUMPUR: Seorang pegawai bersama dua anggota sebuah badan penguat kuasa ditahan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk menggugurkan satu kes penipuan.
Ketiga-tiga mereka termasuk seorang wanita ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam operasi dijalankan Rabu dan Khamis lalu di sekitar Selangor serta Kuala Lumpur.
Berdasarkan sumber, siasatan awal mendapati pengadu berjumpa dengan pegawai penguat kuasa berusia lingkungan 30-an bagi meminta bantuan untuk melepaskan isterinya yang ditahan pada 8 Julai lalu kerana disyaki terbabit satu kes penipuan.
Bagaimanapun, pegawai berkenaan meminta pengadu berurusan dengan seorang anggota penguat kuasa yang bertindak sebagai orang tengah.
"Melalui anggota itu, pengadu diminta memberikan wang rasuah kira-kira RM20,000.
"Pengadu kemudian menyerahkan wang pendahuluan kira-kira RM20,000 melalui dua transaksi kepada seorang anggota penguat kuasa yang dipercayai akan dikongsikan dengan pegawai serta seorang anggota lain," katanya.
Sumber sama berkata ketiga-tiga suspek kini direman untuk siasatan lanjut.
"Pegawai penguat kuasa lelaki berusia lingkungan 30-an itu direman tiga hari sehingga Ahad ini, manakala anggota penguat kuasa wanita berusia lingkungan 20-an direman dua hari sehingga esok selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini .
"Semalam, Majistret Irza Zulaikha Rahanuddin mengeluarkan perintah reman lima hari sehingga Isnin ini terhadap seorang lagi anggota berusia lingkungan 30-an selepas permohonan di buat di mahkamah sama," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.
Sumber: Berita HarianĀ