KOTA BHARU: Seorang ketua polis balai (OCS) di Kelantan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah membabitkan wang kurang RM1,000.
Menurut sumber, pegawai berpangkat Sarjan Mejar berusia lingkungan 40-an itu ditahan pegawai SPRM kira-kira jam 2 petang.
Penahanan susulan satu laporan dibuat baru-baru ini oleh seorang lelaki tempatan.
"SPRM dijangka memohon perintah reman terhadap pegawai berkenaan esok," katanya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, namun belum menerima maklumat penuh mengenai kes itu.
"Saya dimaklumkan dia (OCS itu) ditahan bagi membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan rasuah.
"Biarlah SPRM jalankan siasatan," katanya.
Sumber : Berita Harian Online