KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes rasuah membabitkan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette memfailkan bantahan awal terhadap rayuan dikemukakan pasangan itu.
Pada 9 Disember 2022, Bung Moktar dan isteri memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonan menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas pertuduhan rasuah melibatkan pelaburan RM150 juta wang Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Berdasarkan notis yang diperoleh media, bantahan awal itu difailkan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How pada 7 Mac lalu di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.
Chin How memaklumkan, Mahkamah Rayuan menetapkan pengurusan kes rayuan tersebut pada 22 Mei di hadapan Timbalan Pendaftar, Mohd. Khairi Haron.
Alasan utama bantahan awal tersebut ialah keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi pada 9 Disember 2022 bukanlah satu keputusan yang boleh dirayu sebagaimana diperuntukkan mengikut Seksyen 50 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Bung Moktar dan Zizie Izette sepatutnya mula membela diri atas pertuduhan rasuah itu pada 3 Januari lalu namun ditangguhkan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pasangan itu menggantung prosiding itu sementara menunggu rayuan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob yang mendengar perbicaraan tersebut bertindak ‘menyekat’ beberapa tarikh perbicaraan kerana kes itu yang didaftarkan pada 2019, diklasifikasikan sebagai kes lama.
Sambung bicara kes ditetapkan selama 13 hari pada Jun dan Julai ini. Tarikh-tarikh pada Jun ialah 15, 16, 26 dan 27 manakala Julai pula pada 10 hingga 14 manakala tarikh lain pada 20, 21, 24 dan 25 Julai.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra membuat pelaburan terbabit.
Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga didakwa menerima suapan RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat serupa pada 19 Jun 2015.
Pendakwaan terhadap Bung Moktar dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu.
Sumber: Utusan Malaysia