Rayuan Isa Samad hukuman penjara, denda diketahui satu tarikh lain PUTRAJAYA

Tarikh: 08/11/2023
img

dan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta atas kesalahan rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak, akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada satu tarikh lain.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar penghujahan pihak-pihak dalam rayuan tersebut hari ini.

Terdahulu, peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd. Isa berhujah, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika mensabitkan anak guamnya atas kesalahan rasuah apabila mencapai dapatan yang bercanggah di antara satu sama lain.

Peguam bela menghujahkan, keterangan saksi pendakwaan ke-21 (SP21), Muhammad Zahid Md. Arip yang ketika itu pegawai khas politik Mohd. Isa berhubung penyerahan wang, tidak menyokong elemen pertuduhan suapan yang dihadapi perayu.

Semasa perbicaraan, Muhammad Zahid memberitahu mahkamah bahawa beliau menyerahkan wang berjumlah RM3 juta yang diisi dalam beg kertas dan beg hitam kepada Mohd. Isa di pejabat tingkat 49, Menara Felda sebanyak sembilan kali.

Peguam bela turut berhujah, tindakan perayu `mengirim salam’ yang didakwa sebagai isyarat memohon suapan atau wang pendahuluan, sebagai tidak munasabah.

Dalam keterangan pembelaannya, Mohd. Isa mengaku tidak pernah mengirimkan apa-apa salam kepada ahli lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel kerana beliau tidak mempunyai sebarang kaitan dengannya atau mengenalinya secara peribadi.

Sehubungan itu, peguam bela menghujahkan tidak selamat untuk mengekalkan sabitan anak guamnya berdasarkan dapatan hakim bicara.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memohon mahkamah menimbang keterangan pendakwaan bahawa Mohd. Isa terlibat dalam mesyuarat lembaga pengarah yang meluluskan pembelian hotel berkenaan manakala wang RM3 juta itu adalah sebagai upah meluluskan pembelian itu.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Februari 2021.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd. Isa, 73, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak, oleh Felda.

Kesalahan itu dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur di antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd. Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak. 

Sumber: Kosmo Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel