Rayuan ketepi keputusan bebas Syed Saddiq hari ini

Tarikh: 11/12/2025
img

Putrajaya: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Mahkamah Persekutuan di sini, pagi ini bagi prosiding rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan pembebasan wakil rakyat itu daripada sabitan kes berkaitan dana ARMADA, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Syed Saddiq yang mengenakan kemeja putih dan berkod hitam tiba di pekarangan Istana Kehakiman pada jam 8.26 pagi bersama dua penyokong.

Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah kemudian dilihat tiba tiga minit kemudian.

Mahkamah menetapkan prosiding itu berlangsung selama dua hari sehingga esok.

Ini adalah peluang terakhir pasukan pendakwaan selaku perayu bagi memohon Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.

Kesemua pertuduhan membabitkan satu kes subahat pecah amanah berkait dana RM1 juta, satu pertuduhan salah guna harta berjumlah RM120,000 dan dua pertuduhan pengubahan wang haram masing-masing melibatkan RM50,000.

Pada 25 Jun lalu, Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta, berkait kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana ARMADA atau Angkatan Bersatu Anak Muda Bersatu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas sebulat suara membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Pada 22 September lalu, pihak pendakwaan mengemukakan 28 alasan rayuan bagi menyokong permohonan supaya Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 25 Jun dan mengembalikan semula sabitan serta hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan bahawa 15 alasan berkaitan pertuduhan subahat pecah amanah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan, sembilan berkaitan salah guna harta di bawah Seksyen 403, dan empat lagi berhubung dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Menerusi petisyen rayuan, pihak pendakwaan berhujah bahawa Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila menyatakan bahawa saksi utama pendakwaan, Rafiq Hakim Razali memberi keterangan kerana tertekan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tanpa sebarang bukti yang menyokong dakwaan itu.

Prosiding diteruskan dengan hujahan pihak pembelaan diketuai oleh peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, yang memohon agar keputusan Mahkamah Rayuan dikekalkan, sekali gus mengetepikan sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid mensabitkan Syed Saddiq atas keempat-empat pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta.

Bagaimanapun, pada 25 Jun lalu, Mahkamah Rayuan membebaskan beliau selepas panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim mendapati pertuduhan terhadapnya tidak berasas.

Mahkamah turut menyatakan bahawa tindakan memberi arahan untuk mengeluarkan wang tidak boleh dianggap sebagai pelupusan dana.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, Penolong Bendahari Armada Bersatu, yang diamanahkan dengan dana RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan kedua membabitkan kesalahan menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, antara 8 hingga 21 April 2018, yang dilakukan di Maybank Taman Pandan Jaya, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Dua lagi pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram melibatkan pemindahan RM50,000 setiap satu ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera milik tertuduh, dilakukan pada 16 dan 19 Jun 2018 di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Johor Bahru. Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta AMLA 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.


Sumber : Berita Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel