RCI Tabung Haji: 14 kertas siasatan dibuka, ada perakuan tuduhan dan NFA - SPRM

Tarikh: 13/08/2026
img

KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 14 kertas siasatan dan menyerbu serta memeriksa 28 premis, sebahagian besar di Lembah Klang, berhubung siasatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, pada masa sama, selepas hampir dua minggu menjalankan siasatan, tiga daripada enam isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI berkenaan sudah selesai sepenuhnya, dengan terdapat perakuan untuk pertuduhan dan perakuan Tiada Tindakan Lanjut (NFA), manakala tiga isu lagi berada pada peringkat akhir siasatan.

Beliau berkata semakan terperinci terhadap Laporan RCI TH turut menemukan lapan isu tambahan berkaitan pelaburan bermasalah, sekali gus membawa kepada pembukaan lapan lagi kertas siasatan dan menjadikan keseluruhannya 14 kertas siasatan.

Sehingga ini, katanya, agensi itu melakukan tujuh tangkapan, yang mana lima suspek direman dan sitaan berhubung siasatan sama.

Beliau berkata seramai 115 individu sudah dipanggil, ditemu bual dan dirakam percakapan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

"Daripada tujuh suspek itu, dua lagi dilepaskan atas jaminan atas sebab kesihatan," katanya.

Beliau berkata, SPRM turut menjalankan pengesanan aliran kewangan termasuk penelitian dokumen dan penyata kewangan daripada institusi perbankan serta kewangan berkaitan.

"SPRM juga sedang meneliti secara terperinci dokumen perjanjian kontrak serta dokumen pembayaran dan meneruskan siasatan terhadap keenam-enam isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI berkenaan.

"Selepas hampir dua minggu menjalankan siasatan, tiga daripada enam isu itu sudah selesai sepenuhnya, dengan terdapat perakuan untuk pertuduhan dan juga perakuan Tiada Tindakan Lanjut (NFA), manakala tiga isu lagi berada pada peringkat akhir siasatan," katanya.

Beliau berkata lapan pelaburan yang disiasat SPRM membabitkan Deru Semangat Sdn Bhd dalam sektor perladangan sawit; ABRAJ Sdn Bhd; Putrajaya Perdana Berhad; Al-Raudhah Real Estate; Al-Farida Residential Fund; Tabung Haji Properties Sdn Bhd; Tabung Haji Marine Sdn Bhd serta Tabung Haji Hotel & Residence.

Mengenai Ops Chicks di Sabah pada 11 Ogos lalu membabitkan sindiket menyeludup masuk ayam sejuk beku dari China dan Poland, Abdul Halim berkata tujuh individu, termasuk tiga pengusaha perniagaan dan empat penjawat awam ditahan dan kesemuanya sudah direman.

Menurutnya, SPRM menyita 10 kontena bernilai RM3.9 juta serta mengesan ketirisan cukai berjumlah RM1.01 juta.

"Sebanyak tujuh telefon bimbit turut disita dan SPRM sedang dalam proses membekukan akaun syarikat terbabit.

"Siasatan masih berjalan bagi mengesan individu lain yang terbabit dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009," katanya.


Sumber : berita harian online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel