RCI TH: Isu pajakan hotel di Arab Saudi, bekas menteri direman 5 hari

Tarikh: 02/09/2026
img

PUTRAJAYA: Seorang bekas menteri direman lima hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakaria selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 4.30 petang semalam selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Beliau ditahan bagi membantu siasatan berkaitan pajakan hotel di Arab Saudi.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan kesalahan meminta atau menerima suapan sebagai dorongan atau ganjaran dalam sesuatu urusan.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, mengikut Seksyen 24 akta sama.

Terdahulu suspek tiba di mahkamah jam 10.25 pagi dengan kenderaan SPRM.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel