KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan oleh Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, berhubung 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkait projek Jana Wibawa yang dihadapinya.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin, hari ini.
Susulan itu, Suzana menetapkan tarikh 13 November depan untuk perbicaraan kes berkenaan.
Prosiding hari ini turut dihadiri peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan, 43.
Ketika ditemui selepas prosiding, Rajan berkata, representasi yang dikemukakan adalah untuk mencadangkan penyelesaian kes itu, namun tidak dapat mendedahkan secara terperinci.
Mengikut pertuduhan, Adam Radlan didakwa meminta suapan wang tunai 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh, daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd, Mat Jusoh Mamat.
Beliau juga didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis, daripada kerajaan secara rundingan terus dengan keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.
Selain itu, Adam Radlan menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh, sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa, dan juga secara rasuah meminta wang RM2 juta daripada Tian Chuan sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.
Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023.
Sumber: Berita Harian