RM25.3 juta masuk akaun BERSATU daripada penerima projek Jana Wibawa - SPRM

Tarikh: 02/09/2026
img

KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati RM25.3 juta dimasukkan ke dalam akaun BERSATU oleh individu dan syarikat yang dikenal pasti menerima projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Perkara itu didedahkan pegawai penyiasat di Bahagian Operasi Khas SPRM, Mazery Mohd Zaini dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Saksi pendakwaan ke-29 itu berkata, jumlah itu direkodkan melalui transaksi membabitkan syarikat KCJ Engineering Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd serta Sutracom Sdn Bhd dan pengarah KCJ Engineering, Datuk Seri Azman Yusoff.

Mazery yang kini bertugas sebagai Ketua Cawangan Siasatan B, Bahagian Siasatan SPRM berkata, semakan terhadap akaun BERSATU di CIMB Bank dan AmBank mendapati Muhyiddin antara individu yang mempunyai kawalan ke atas akaun berkenaan.

"Saya dapat membuat kesimpulan bahawa hasil semakan terhadap akaun-akaun bank BERSATU ini terdapat individu dan syarikat yang berjaya mendapat projek Jana Wibawa, memasukkan wang ke dalam akaun milik BERSATU yang mana akaun ini dikawal oleh tertuduh.

"Jumlah keseluruhan transaksi mulai 22 September 2021 hingga 22 November 2022 adalah sebanyak RM25.3 juta," katanya menerusi pernyataan saksinya.

Menurutnya, hasil siasatan turut mendapati wang yang dimasukkan syarikat berkenaan bukan sumbangan politik, sebaliknya mempunyai kaitan dengan tindakan Muhyiddin membantu mereka mendapatkan projek.

"Wang yang dimasukkan oleh syarikat-syarikat ini bukanlah sumbangan politik sebaliknya sebagai balasan kepada tindakan tertuduh yang membantu mereka mendapatkan projek itu dan bukan suatu kebetulan," katanya.


Sumber :  Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel