Saham syarikat kewangan dilupuskan tahun sama, ikut peraturan - Azam

Tarikh: 10/02/2026
img

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, menegaskan pemilikan saham bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat mengikut prosedur dan tidak melanggar undang-undang.

Bercakap kepada New Straits Times, beliau katanya beliau tidak mempunyai apa-apa yang hendak disembunyikan berhubung perkara itu.

"Saya telah membuat pengisytiharan mengenai perkara ini, termasuk sumber pendapatan saya, melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam. Semuanya telus," katanya kepada New Straits Times.

Beliau berkata saham berkenaan dibeli tahun lalu dan telah dilupuskan dalam tahun yang sama.

Katanya laporan media berkenaan adalah berniat jahat dan mengelirukan, serta tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang kerana bersifat memfitnah.

Terdahulu hari ini, sebuah portal berita melaporkan bahawa Azam disenaraikan sebagai pemegang 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, berdasarkan pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Bloomberg melaporkan bahawa pegangan saham itu didedahkan dalam penyata tahunan Velocity Capital Bhd yang difailkan pada 3 Februari tahun lalu.

Berdasarkan harga saham syarikat itu pada penutupan dagangan Isnin, pegangan berkenaan dianggarkan bernilai kira-kira RM800,000 kata portal itu.

Semakan di portal web syarikat mendapati ia tersenarai di Bursa Malaysia dan sebelum ini terbabit dalam sektor pengangkutan, logistik dan pembuatan seramik.

Kini, syarikat berkenaan sedang beralih ke sektor perkhidmatan kewangan, termasuk pemberian pinjaman wang. 

Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel