KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memberi bayangan terdapat dakwaan rasuah terhadap beliau membabitkan syarikat NexG berjumlah RM500,000.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau meminta bukti yang mengaitkannya dengan dakwaan berkenaan dan Saifuddin menunjukkan invois bayaran daripada NexG kepadanya.
"Dakwaan itu berlaku pada pertemuan bersama Saifuddin pada 2 Disember lalu dan beliau mengingatkan jika kes itu terdedah ia boleh memalukan saya.
"Saya cakap mana ada orang bagi rasuah keluarkan resit? Itu tak cerdik namanya. Bayaran RM500,000 ini dan invois itu adalah daripada Harizan (Mohd Hafizan Haris) dan GFIS, di mana saya tak pernah kenal atau jumpa mereka seumur hidup," katanya dalam hantaran terbaharu di dalam laman sosialnya, di sini, malam tadi.
Hantaran itu dilakukan berikutan dakwaan daripada portal Malaysia Corporate yang menyatakan Rafizi menerima wang daripada Ketua Pegawai Eksekutif NexG, Datuk Abu Hanifah Nordin pada tahun 2023 bagi dana kempen pemilihan PKR.
Menerusi laporan terbabit, Abu Hanifah dikatakan menyerahkan wang berkenaan kepada Harizan dari syarikat GFIS di mana kononnya Harizan ini adalah orang yang rapat dengan Rafizi dan mengambil wang itu bagi pihaknya.
Dalam pada itu, BH turut menghubungi Saifuddin, namun beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.
Jelas Rafizi lagi, semua dakwaan itu disifatkan bertujuan memfitnahnya.
"Dengan segala tuduhan, tidak ada satu pun yang menunjukkan saya berjumpa dengan Datuk Abu Hanifah atau sesiapa dari NexG seumur hidup saya, dari 2023 hingga sekarang.
"Kedua, saya menerima wang RM500,000 yang dituduh itu. Garis masa pun tidak kena, kononnya saya mengambil wang itu untuk membiayai pemilihan PKR 2025, sedangkan dalam bulan Julai 2023, semasa tuduhan saya menerima wang itu, ura-ura pemilihan PKR pun belum berlaku.
"Malah, nama disebut-sebut menjadi watak utama iaitu Harizan dari syarikat GFIS, kononnya dia orang yang rapat dengan saya dan mengambil wang itu bagi pihak saya. Seumur hidup saya tidak pernah kenal atau berjumpa dengan Harizan ini," katanya.
Jelasnya lagi, jika NexG membayar RM500,000 kepada Harizan, GFIS atau sesiapa, maka siasatlah Harizan, GFIS hatta bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Yatimah, yang disebut-sebut dalam cerita ini.
"Besar kemungkinan, ini cerita biasa dari Putrajaya, ada ahli perniagaan cuba cari jalan, ada scammer yang mengaku macam-macam.
"Bila ada yang mengkritik kerajaan macam saya, maka watak-watak inilah yang dibawa bersama untuk mencipta satu fitnah terhadap saya," katanya yang akan menerangkan secara terperinci isu itu dalam Podcast YBM Episod 43 Jumaat ini pukul 9 malam.
Dalam pada itu, Rafizi turut mengingatkan kepada ahli PKR mengenai perjuangan mereka di mana fitnah yang melampau itulah yang membawa mereka untuk menyertai parti berkenaan.
"Janganlah sekarang lakukan fitnah yang keterlaluan kerana terdesak, (akhirnya) menyebabkan rakyat menolak PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula kali ini," katanya.
Sumber : Berita Harian Online