KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh mendedahkan hasil siasatan berhubung isu membabitkan bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan kerana ia bersifat sulit.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman, berkata kedudukan kertas siasatan termasuk berkaitan saksi yang meninggal atau tidak hanya diketahui pegawai penyiasat SPRM.
"Bagaimana proses mengenai kedudukan seorang saksi utama yang (didakwa) meninggal dunia dan sebagainya, ia lebih menjurus kepada proses penyiasatan.
"Proses penyiasatan adalah sesuatu yang sulit dan tidak ada pihak boleh mengetahui kedudukan kertas siasatan itu melainkan pegawai penyiasat serta pihak atasan SPRM," katanya pada dalam sidang media di sini hari ini.
Minggu lalu, Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga pertuduhan menerima suapan RM1.097 juta, empat tahun lalu.
Mahkamah membenarkan ahli politik itu diikat jamin RM450,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM setiap tiga bulan sekali dan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan sama ada secara sendiri atau pihak ketiga.
Dalam surat bertarikh 24 Ogos lalu, Saravanan mendakwa SPRM memaksa dua individu yang ditahan dalam kes berkenaan untuk membuat kenyataan yang mengaitkan namanya.
Menurut Saravanan, pada 26 Jun 2023, SPRM memulangkan wang jaminan RM10,000 dan mengesahkan kes itu selesai tanpa sebarang siasatan terhadapnya.
Bagaimanapun, beliau mendakwa saksi, Syed Amirul dan isterinya dipanggil semula untuk soal siasat pada November 2025 sebelum membuat satu lagi Akuan Bersumpah (SD) bagi menegaskan semula dakwaan bahawa beliau sebelum itu dipaksa mengaitkan nama Saravanan.
Syed Amirul kemudian meninggal dunia pada 28 Julai lalu.
Ditanya mengenai SD daripada Saravanan berhubung kes rasuah yang sedang dihadapi Ahli Parlimen Tapah itu, Abdul Halim Aman, berkata pihaknya masih menunggu surat berkenaan dan akan menelitinya sebaik diterima.
"Setakat hari ini, surat itu pihak kami tak menerima. Pihak kami belum menerima surat daripada pihak yang dinyatakan itu.
"Kita masih menunggu. Kita belum menerima apa-apa lagi," katanya.
SUMBER: BERITA HARIAN