Saksi nafi tipu beri keterangan kes rasuah Guan Eng

Tarikh: 20/09/2023
img

KUALA LUMPUR: Bekas pengarah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) memberitahu Mahkamah Sesyen beliau tidak menipu semasa memberi keterangan dalam kes rasuah membabitkan Lim Guan Eng.

Ibrahim Sahari, 59, memaklumkan perkara itu apabila peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Lim, mempertikai kenyataan saksi tersebut di Mahkamah Sesyen Shah Alam yang tidak konsisten dengan keterangannya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Isu itu dibangkitkan oleh Gobind kerana ketika Ibrahim memberi keterangan di Shah Alam dalam kes tipu membabitkan ahli perniagaan G Gnanaraja, saksi itu menyatakan seorang lagi pengarah CZCSB iaitu Zarul Ahmad Mohd Zulkifli telah memaklumkan bahawa beliau (Zarul) ditipu oleh Gnanaraja yang meminta RM19 juta daripadanya.

Gnanaraja dikatakan meminta wang itu bagi membantu menutup siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kesalahan pengubahan wang haram terhadap Zarul.

Semasa prosiding di Mahkamah Sesyen di sini pada 28 Jun 2022, Ibrahim berkata Zarul mengaku kepada SPRM dan kepadanya bahawa beliau membuat pembayaran kepada Lim selepas dibebaskan daripada tahanan agensi itu.

Ibrahim juga mengaku menyediakan invois serta baucar palsu dan wang itu kemudian digunakan untuk merasuah Lim.

Terdahulu, ketika disoal balas oleh seorang lagi peguam Lim iaitu Tiara Katrina Fuad, saksi itu bersetuju dengan kenyataannya di Shah Alam bahawa wang RM19 juta diberikan kepada Gnanaraja untuk menutup siasatan kes pengubahan wang haram terhadap Zarul.

Semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat lalu, Ibrahim berkata kenyataan beliau di Shah Alam bercanggah dengan kenyataannya di mahkamah ini kerana ia membabitkan pertuduhan dan individu berbeza.

Lim, 62, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10% daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City pada Mac 2011.

Lim turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 23 Okt.

Sumber: Free Malaysia Today

MACC FM
My Anti-Corruption Channel