Saksi utama kes rasuah Guan Eng nafi sorok pengawal peribadi

Tarikh: 19/08/2024
img

KUALA LUMPUR: Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli menafikan dakwaan beliau cuba 'menyembunyikan' pengawal peribadinya daripada perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut yang dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Pengawal peribadi Zarul Ahmad yang hanya dikenali sebagai Din, didakwa peguam Guan Eng (pihak pembelaan) sebagai individu yang mempunyai peranan penting dalam kronologi pemberian wang berjumlah RM2 juta kepada Ahli Parlimen Bagan itu.

Zarul Ahmad yang juga saksi utama dalam perbicaraan kes berkenaan, bersetuju dengan cadangan peguam Haijan Omar bahawa jika Din dipanggil memberikan keterangan di mahkamah, lelaki itu boleh menjawab persoalan mengenai pemberian wang terbabit.

Haijan mencadangkan bahawa Zarul Ahmad sengaja 'menggelapkan' nama pengawal peribadinya yang didakwa membawa dua beg masing-masing berisi RM1 juta yang kemudian diletakkan ke dalam bonet kereta milik saksi terbabit pada Ogos 2017.

Zarul Ahmad sebaliknya berkata, beliau langsung tidak menyebut dan menimbulkan mengenai Din kerana lelaki itu sudah pulang ke Indonesia, dan beliau tiada sebarang sebab untuk 'menyorokkan' perkara berkenaan.

Zarul Ahmad berkata demikian pada prosiding oleh pembelaan untuk mencabar kredibilitinya yang didakwa memberikan keterangan bercanggah ketika disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keterangannya di mahkamah berhubung kes penipuan ahli perniagaan G Gnanaraja membabitkan wang berjumlah RM19 juta berkaitan kes terowong dasar laut yang sama.

Haijan: Datuk, dalam keterangan kamu, kamu menyatakan bahawa kamu mengarahkan pengawal peribadi bernama Din untuk masukkan beg berisi wang ke dalam kereta Mercedes.

Zarul Ahmad: Ya.

Haijan: Din ini memainkan peranan penting, jika dia datang ke mahkamah, dia akan tahu ada berapa beg berisi wang yang diberikan.

Zarul Ahmad: Betul.

Haijan: Ini berbeza dengan keterangan kamu di mahkamah di mana kamu berkata, kamu sendiri turun daripada pejabat dan bawa beg itu ke dalam kereta.

Zarul Ahmad: Saya dah jawab soalan ini.

Haijan: Kamu sengaja sembunyikan nama Din di mahkamah.

Zarul Ahmad: Kalau dia (Din) datang, ia akan jadi lebih buruk (kepada pembelaan).

Ketika ditanya mengenai maksud 'ia akan jadi lebih buruk (kepada pembelaan)', Zarul Ahmad berkata, ia hanya pendapatnya.

Menjelaskan lanjut mengenai percanggahan keterangannya pula, Zarul Ahmad berkata, keadaan mindanya tidak stabil ketika memberikan keterangan kepada SPRM kerana baru dibebaskan daripada tahanan reman selama 11 hari ketika itu.

"Saya baru sahaja dilepaskan daripada tahanan 11 hari sebelum ditangkap semula oleh SPRM untuk disoal balas selama 11 jam mengenai kes ini.

"Selama 11 hari itu, saya tidur di atas lantai simen walaupun saya sudah beritahu saya mengalami sakit belakang.

"Apabila ditahan semula, SPRM arahkan saya untuk asingkan pernyataan mengenai kes membabitkan Gnanaraja dan kes ini (Guan Eng)... saya ada buat tiga pembayaran pada Julai 2017... saya pun keliru," katanya.

Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad supaya dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh, daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Guan Eng didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini, antara jam 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Dia juga didakwa dengan dua tuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu, yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, di KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Prosiding mencabar kredibiliti saksi bersambung pada 26 Ogos ini.


Sumber: Berita HarianĀ 

MACC FM
My Anti-Corruption Channel