IPOH: Bekas Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr Zakaria Kasa, 66, dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Tinggi, di sini, atas pertuduhan salah guna kuasa sembilan tahun lalu.
Hukuman itu diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman Su Tiang Joo, sekali gus mengetepikan keputusan dibuat Mahkamah Sesyen sebelum ini yang melepaskan dan membebaskan tertuduh.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Namun tertuduh diarah menjelaskan denda yang diputuskan mahkamah hari ini dan diarah menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan jika gagal berbuat demikian.
Berdasarkan pertuduhan, Zakaria didakwa menggunakan jawatannya ketika itu dengan mengarahkan Mohd Faizi Othman iaitu Pendaftar UPSI untuk memasukkan nama anak lelakinya, Mohd Fauzi Zakaria, untuk dipanggil temu duga pada 12 September 2014.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bilik Naib Canselor di Bangunan Canselor UPSI di Tanjung Malim antara 24 Jun hingga 12 September 2014.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor, manakala Zakaria diwakili peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, Shahidah Muslimah Roslan dan Noor Hidayah Mohd. Saad.
Mahkamah Seksyen di sini, sebelum ini melepaskan dan membebaskan Zakaria daripada pertuduhan salah guna kuasa itu, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kes berkenaan.
Sumber: Berita Harian