Dua bekas pengarah Sea Tackle Sdn Bhd, Teo Tzi Sin dan Wong Poh Wah, masing-masing didenda RM100,000 pada Januari 2025 kerana menyalahgunakan kedudukan.
Mereka menggunakan RM200,000 daripada dana syarikat untuk membayar bonus kepada diri sendiri tanpa kelulusan hingga didakwa mengikut Seksyen 218(1)(c) Akta Syarikat 2016, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kes ini membawa mesej jelas. Pengarah diamanahkan mengurus wang dan perniagaan syarikat, justeru setiap kuasa diberikan mesti digunakan demi kepentingan syarikat. Kesalahan di bawah Akta Syarikat 2016 semakin membimbangkan apabila semakin banyak syarikat dan pengarah didakwa Suruhanjaya Syarikat (SSM), dengan sabitan kes membawa hukuman denda tinggi atau penjara.
Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sektor swasta mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi pada 2025, iaitu 551 orang atau 45 peratus daripada keseluruhan 1,145 tangkapan. Lebih membimbangkan, nilai rasuah membabitkan entiti sektor swasta dianggarkan mencecah RM520 juta. Daripada jumlah itu, RM124 juta membabitkan syarikat tersenarai, RM383 juta syarikat tidak tersenarai dan RM11 juta perniagaan milikan tunggal.
Di bawah Seksyen 218 Akta Syarikat 2016, pengarah dan pegawai syarikat menyalahgunakan kedudukan untuk memperoleh manfaat bagi diri sendiri atau orang lain atau untuk memudaratkan syarikat, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, didenda sehingga RM3 juta atau kedua-duanya sekali. Penyalahgunaan kuasa boleh berlaku dalam pelbagai bentuk.
Antaranya, memberikan kontrak kepada rakan, ahli keluarga atau sekutu perniagaan sambil menyembunyikan kepentingan peribadi, memanipulasi rekod kewangan, mengemukakan invois palsu dan menggunakan maklumat sulit syarikat untuk keuntungan sendiri. Masalah ini membabitkan syarikat besar dan perniagaan kecil.
Bayangkan seorang pengarah secara senyap memberikan kontrak kepada syarikat milik sekutunya. Dia kemudian meluluskan invois yang nilainya dinaikkan dan merekodkan bayaran itu sebagai perbelanjaan biasa untuk menyembunyikan salah laku. Bergantung pada bukti, perbuatan itu boleh menjadi kesalahan jenayah.
Di bawah Seksyen 213 Akta Syarikat 2016, pengarah mesti bertindak dengan suci hati, menggunakan kuasa bagi tujuan yang wajar dan mengutamakan kepentingan syarikat. Mereka juga mesti menjalankan tugas dengan ketelitian, kemahiran dan usaha munasabah. Pelanggaran kewajipan ini boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda sehingga RM3 juta atau kedua-duanya sekali.
Seksyen 218 pula menyentuh penyalahgunaan kedudukan pengarah atau pegawai syarikat, harta, maklumat atau peluang perniagaan syarikat untuk memperoleh manfaat bagi diri sendiri atau orang lain atau untuk memudaratkan syarikat.
Jika terdapat unsur suapan, Akta SPRM 2009 turut terpakai. Seksyen 16 dan 17 meliputi perbuatan menawarkan, memberi, meminta atau menerima suapan, termasuk membabitkan ejen.
Di bawah Seksyen 17A, organisasi komersial boleh dipertanggungjawabkan apabila orang yang bersekutu dengannya memberi suapan untuk mendapatkan atau mengekalkan perniagaan atau kelebihan dalam menjalankan perniagaan bagi organisasi itu.
Penggunaan jawatan untuk dapatkan suapan
Seksyen 23 pula menyentuh penggunaan jawatan atau kedudukan pegawai badan awam untuk mendapatkan suapan. Peruntukan itu boleh terpakai kepada pegawai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tertentu jika syarikat berkenaan tergolong sebagai badan awam dan unsur kesalahan dipenuhi.
Kanun Keseksaan meliputi kesalahan seperti pecah amanah jenayah, penipuan, pemalsuan, penggunaan dokumen palsu dan pemalsuan akaun. Bergantung pada fakta kes, Seksyen 405 hingga 409, 420, 468, 471 dan 477A boleh terpakai. Hukuman boleh meliputi penjara, denda atau sebatan, mengikut kesalahan. Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 pula meliputi kesalahan seperti manipulasi pasaran, pernyataan palsu dan dagangan orang dalam.
Bezakan keputusan yang silap daripada penipuan. Keputusan perniagaan yang membawa kerugian tidak dengan sendirinya menjadikan seseorang pengarah bersalah melakukan jenayah. Pengarah tetap bertanggungjawab menilai risiko dan bertindak dengan ketelitian munasabah sebelum membuat keputusan.
Perbuatan sengaja memperdaya syarikat, menyeleweng dana, menerima suapan atau menyembunyikan transaksi tidak jujur boleh menjadi kesalahan jenayah. Satu kejadian boleh membawa kepada beberapa pertuduhan dan pihak pendakwaan mesti membuktikan unsur setiap pertuduhan. Transaksi mencurigakan sahaja tidak memadai membuktikan seseorang bersalah kerana sabitan memerlukan bukti.
Di negara ini, seseorang tidak boleh didakwa semata-mata atas alasan kecuaian atau pertimbangan lemah (carelessness and stupidity). Pertuduhan mesti berasaskan kesalahan diperuntukkan undang-undang kecuaian atau pertimbangan yang lemah.
Di Hong Kong, misalnya, salah laku dalam jawatan awam serius, termasuk pengabaian tugas secara sengaja tanpa alasan yang sah, boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Malaysia wajar menilai sama ada undang-undang sedia ada memberikan perlindungan mencukupi apabila kegagalan serius dalam melaksanakan tanggungjawab menyebabkan penyalahgunaan atau kehilangan wang awam.
Cegah salah laku dan ambil tindakan lembaga pengarah perlu memainkan peranan aktif dalam tatakelola dan keputusan utama syarikat. Ia mesti mengawasi perbelanjaan, meneliti kontrak dan memberi perhatian khusus kepada urus niaga dengan pihak yang mempunyai kaitan dengan pengarah atau pengurusan kanan. Kuasa untuk memberikan kontrak, meluluskan bayaran dan merekodkan transaksi perlu diasingkan supaya setiap langkah boleh disemak.
Syarikat juga perlu menetapkan peraturan jelas mengenai konflik kepentingan, menjalankan audit berkala, menyemak latar belakang pembekal dan menyediakan saluran berkesan untuk pekerja melaporkan salah laku. Pemberi maklumat mesti dilindungi daripada tindakan balas. Sistem whistle blower mesti telus dan dipercayai kredibilitinya. Mereka juga perlu yakin bahawa laporan mereka akan disiasat secara adil, termasuk apabila membabitkan orang di peringkat tertinggi.
Agensi penguat kuasa mempunyai peranan masing-masing. SPRM menyiasat kes rasuah dan salahguna kuasa, SSM menguatkuasakan undang-undang syarikat termasuk konflik kepentingan, Suruhanjaya Sekuriti (SC) menyelia pasaran modal dan polis menyiasat kes jenayah komersial.
Jabatan Peguam Negara pula mengendalikan pendakwaan jenayah, manakala Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram mempunyai kuasa sangat luas dan efektif untuk membeku, menyita dan melucutkan hak harta penjenayah kolar putih.
Tadbir urus korporat baik memerlukan peraturan dan prosedur berkesan serta pemimpin memiliki integriti, merit dan keberanian untuk melakukan perkara yang betul, walaupun tiada siapa melihat. Lembaga utamakan pemikiran strategik, manakala pengurusan lebih kepada pemikiran kritikal dan pengurusan mikro serta tidak boleh campur aduk.
Keberanian itu juga bermakna sanggup mengambil tindakan apabila amanah dikhianati, walau setinggi mana pun kedudukan orang terbabit. Salah laku terbukti mesti disusuli tindakan setimpal. Jika kesalahan jenayah dibuktikan di mahkamah, hukuman hendaklah mencerminkan keseriusan perbuatan dan kerugian ditanggung.
Profesor dan Pengarah Institut Kriminologi dan Keadilan Jenayah, Universiti HELP
Sumber: Berita Harian Online