Salah guna visa pelancong punca utama kes 'counter setting' - SPRM

Tarikh: 25/09/2024
img

UALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti penggunaan visa pelancong dalam kalangan warga asing merupakan antara punca utama berlakunya kegiatan “counter setting” di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sumber berkata, kumpulan warga asing yang mahu bekerja terutama dari Bangladesh, Nepal dan Myanmar datang ke negara ini tidak menggunakan sistem sedia ada termasuk memohon permit yang berkaitan.

Sebaliknya mereka menyalahgunakan visa pelancong untuk masuk ke negara ini dan kemudian bekerja secara haram.

"Ini merupakan modus operandi yang membuka kepada kegiatan “counter setting” di mana sindiket membayar rasuah dengan nilai tertentu kepada penguat kuasa seterusnya menyebabkan berlakunya isu warga asing melakukan kesalahan tinggal melebihi tempoh sah, bekerja tanpa permit kerja yang sah dan mengelak senarai hitam (blacklist) dalam negara.

"Sindiket ini tidak menggunakan sistem pengurusan berpusat pekerja asing iaitu Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) yang mendaftar dan memantau pekerja asing di negara ini.

"Penyalahgunaan visa pelancong bertujuan untuk bekerja secara haram ini dikenal pasti sangat berleluasa dan membuka peluang kepada warga asing masuk bekerja di negara ini," katanya.

Tambah sumber itu, bayaran yang dikenakan sindiket kepada kumpulan warga asing yang ingin bekerja di negara ini adalah antara RM6,000 hingga RM12,000 dengan menggunakan saluran yang tidak sah.

Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus, ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara ini.


Sumber: Astro Awani

MACC FM
My Anti-Corruption Channel