Sambutan HARA suburkan kesedaran rakyat, perkukuh integriti - Azam

Tarikh: 25/11/2025
img

Kuala Lumpur: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) bukan sekadar simbolik atau majlis tahunan, sebaliknya medan untuk menggerakkan kesedaran rakyat dan memperkukuh integriti negara.

Azam berkata, sambutan HARA tahun ini diadakan awal iaitu pada 5 Disember di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dengan penyertaan pelbagai agensi kerajaan, universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Sambutan HARA ini kita nak gerakkan semua agensi termasuk swasta, NGO dan sebagainya... jadi HARA ini bukan tanggungjawab SPRM sahaja tetapi tanggungjawab semua," katanya dalam sesi sembang tamu Memacu Perubahan Pencegahan Rasuah di MACC.fm, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sambutan HARA juga merangkumi pelbagai aktiviti, termasuk bacaan doa atau Yasin secara bersama bagi mendoakan kesejahteraan dan keamanan negara bebas rasuah.

"Kita doa supaya negara kita sejahtera, negara kita aman, bebas daripada rasuah dan sebagainya. Kerana apa? Banyak perkara dapat dilakukan apabila negara ini kurangnya rasuah, banyak perkara boleh boleh diselesaikan dari segi pentadbiran awam.

"Rakyat pula dapat menikmati hasil wang yang hilang dan sebagainya. Saya dah sebutkan banyak kali di mana ini semua (usaha banteras rasuah) adalah untuk semua rakyat.

"Kita pegawai SPRM (ada) gaji kita jalan, tetapi jangan fikir begitu. Kalau kita nak menunjukkan bahawa kita betul-betul bertanggungjawab, perlu laksanakan tugas kita dengan sebaik mungkin. Itulah signifikannya memperingati HARA," katanya.

Azam berkata, pegawai SPRM perlu memiliki pemikiran yang selaras dengan misi agensi.

"Kita perlu ingat SPRM dipantau oleh lima panel bebas, ini bermakna ia untuk memastikan SPRM sentiasa terbuka.

"Saya tidak boleh lari. Saya sebagai Ketua Pesuruhjaya, baru-baru ini mesyuarat dengan semua Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) untuk menyerahkan laporan kepada Perdana Menteri termasuk menjawab persoalan satu persatu.

"Di sini suka tak suka, saya kena buat, kalau saya tak suka, saya kena keluar dari sistem. Begitu juga semua pegawai SPRM, baik warga berbaju biru, orang awam atau perkhidmatan sokongan, perlu mempunyai pemikiran sama. Kita tak boleh berfikiran lain, keluar daripada apa yang kita nak laksanakan," katanya.

Sumber: Berita Harian Metro


MACC FM
My Anti-Corruption Channel